Mencuba Salzburger Nockerl di Café Mozart, Salzburg

Minggu lepas, penulis akhirnya dapat melepas hajat melawat kota Salzburg yang terkenal dengan tokoh muzik bernama Wolfgang Mozart. Setiap penjuru kota penuh dengan gambar-gambar tokoh muzik yang satu ini. Alang-alang ke sini, penulis tidak melepaskan peluang untuk mencuba manisan dari Salzburg yang amat terkenal iaitu Salzburger Nockerl.

Salzburger nockerl

Manisan ini dipanggil Salzburger Nockerl kerana bentuknya yang menyerupai tiga gunung ganang yang mengelilingi kota Salzburg iaitu Gaisberg, Mönchsberg dan juga Kapuzinerberg. Taburan gula icing di atasnya ibarat salji yang turun meliputi gunung ganang tersebut.

Manisan ini merupakan salah satu ikon delikasi Austria selain dari Kaiserschmarrn dan juga Apple strudel. Asasnya diperbuat daripada campuran kuning telur, tepung, gula dan perasa vanila yang disatukan menjadi doh. Untuk bahagian luar dan puncak gunung pula, putih telur dan castor dipukul hingga menjadi meringue sebelum dibentuk menjadi tiga gunung dengan menggunakan spatula dan disatukan di atas doh. Adunan kemudiannya dibakar di dalam ketuhar selama 10 minit sehingga bahagian luarnya bertukar keperang-perangan. Selepas dikeluarkan, gula icing ditabur ke atasnya.

Mozart Cafe

Kami mencuba Salzburger Nockerl di kafe yang bernama Café  Mozart. Berdasarkan bacaan penulis dan ulasan yang diterima oleh pengunjung lain. Kafe ini dikatakan menghidangkan Salzburger Nockerl paling sedap yang mereka penah rasa.

Cafe Mozart

Suasana kafe memang cantik dan berkelas. Pelayan kafe juga amat prihatin dan peramah. Selain Salzburger Nockerl, penulis memesan kapucino manakala suami penulis pula memesan kopi Melange yang juga mendapat jolokan kopi edisi Vienna. Ianya tidak banyak berbeza dari kapucino cuma ianya menggunakan krim putar menggantikan susu.

Berbalik kepada manisan Salzburger Nockerl, teksturnya sangat lembut seperti souffle. Ianya enak dimakan panas dan cari di dalam mulut. Lihat sahaja video di bawah untuk mengetahui betapa lembutnya tekstur manisan tersebut. Rasanya tak terlalu manis. Namun begitu, terdapat rasa telur yang agak kuat. Pada yang tidak kisah, tentunya bukan masalah besar.

Kesimpulannya, manisan ini perlu dicuba walaupun sekali jika anda datang ke Salzburg terutama sekali jika anda datang beramai-ramai. Hidangan ini agak besar untuk dimakan seorang. Takut anda merasa muak pula.

Jika anda mahu ke Café Mozart, maklumat ada disediakan di bawah. Selain Salzburger nockerl, anda boleh juga merasa manisan Austria yang lain. Jadi selamat mencuba.

Café Mozart

Alamat: Getreidegasse 22, 5020 Salzburg, Austria
Waktu perniagaan:
Isnin – Sabtu: 8.00AM–9.00PM
Ahad: 9.00AM–9.00PM
Telefon: +43 662 84 39 58
Laman Web: www.cafemozartsalzburg.at
Facebook : Café Mozart

Menikmati air tebu di Natursaftbar & Falafel Amer, Karlsplatz (Stachus)

Lama rasanya penulis tak mengemas kini laman web penulis. Akhirnya hari ini ada kesempatan untuk berbuat demikian. Pandemik Covid-19 yang masih membelenggu kita semua sedikit sebanyak memberi impak pada penulis. Sudah bosan rasanya terkurung di rumah.

Sempena cuti hujung minggu yang panjang sempena sambutan Easter yang lepas, penulis mengambil kesempatan untuk menjengah pusat bandar Munich untuk membeli belah barangan Asia di kedai Asia yang terletak di Stachus.

Bila sudah habis membeli belah. Mulalah perut rasa berkeroncong minta diisi. Agak susah untuk mencari makanan yang senang dijamah kerana pihak kerajaan masih tidak membenarkan penduduk untuk makan di dalam restoran. Sewaktu berpusing di medan selera yang terletak di bahagian bawah pusat membeli-belah Karstadt. Mata penulis tertancap pada poster gambar air tebu yang terdapat di salah sebuah kiosk di situ.

Terus terliur penulis dibuatnya. Iyalah, sudah hampir empat tahun penulis tidak merasa minum air tebu. Apa lagi, penulis terus memesan air tebu tersebut. Satu cawan plastik, harganya 4 Euro. Memang agak mahal. Tapi bukan senang mahu jumpa air tebu di negara Jerman ini.

Pekerja kiosk tersebut amat baik hati mahu videonya direkodkan. Beliau siap membuat gaya menarik air tebu seperti pembuat teh tarik menarik teh dari koleh.

Penulis rasa nak menangis menikmati air tebu tersebut. Rasanya manis. Ada perbezaan sedikit cara orang Malaysia menikmati air tebu dengan cara orang Arab menikmati air tebu. Mereka mencampurkan jus lemon dan halia kisar dalam air tebu. Suami penulis memesan air tebu gaya Arab manakala penulis pula memilih rasa asal.

Sewaktu menikmati air tebu tersebut. Kemanisannya membuat penulis teringat-ingat penulis pada pakcik penulis yang juga peniaga air tebu. Pakcik penulis tanam sendiri pokok tebu beliau. Jadi hasilnya, air tebu beliau memang segar.

Pada anak rantau di Munich yang nak melepas kempunan minum air tebu, bolehlah datang ke kiosk ini. Selain air tebu. Banyak lagi jus yang enak-enak ada untuk dipilih.

Mereka juga ada menyediakan makanan Arab yang panas seperti Shawarma, nasi Arab dan sebagainya. Ikut hati, penulis mahu pesan macam-macam. Tapi disebabkan kami tidak boleh makan di restoran, jadi perlu memilih makanan yang senang dimakan di luar.

Suami penulis ada memesan kalbshawarma (veal), katanya, rasa dan rempah ratus yang digunakan agak sama dengan rasa di negara asal beliau. Penulis pula hanya memesan hamburger. Hamburgernya bersaiz besar. Lebih besar dari saiz BigMac. Oleh itu, penulis tidak mampu untuk habiskan. Rasanya boleh tahan.

Kalau anda berminat untuk merasa air tebu di sini, maklumat kiosk ada disediakan di bawah.

Natursaftbar & Falafel Amer


Alamat: Bahnhofplatz 7, Aras bawah Karstadt, Schmankerlgassen 80335 Munich, Germany
Waktu perniagaan:
Isnin – Sabtu: 9.30AM–8.00PM
Ahad: Tutup
Telefon: +49089 28808835
Facebook :Natursaftbar & Falafel Amer

Makanan laut Ala Moroko di Poissonnerie louvain, Brussels

Penulis dan suami melawat Brussels iaitu ibu kota negara Belgium seminggu sebelum perayaan krismas. Suhunya sejuk mencengkam. Brussels sudah tentulah terkenal kerana wafelnya yang popular. Tapi itu bukan satu-satunya tarikan terbesar di sini. Selain wafel, Belgium juga terkenal dengan coklat. Pralin dan truffle yang mereka hasilkan memang sedap. Umum tahu tentang kedua-dua produk Belgium ini.

Tapi penulis tidak mahu menulis tentang wafel ataupun coklat. Penulis mahu menulis tentang makanan laut yang juga merupakan tarikan di Belgium. Penulis asalnya mencuba makanan laut di restoran makanan laut tempatan. Rasanya boleh tahan, tapi saiznya amat sedikit dan tidak berbaloi dengan harga yang dibayar. Makanan laut yang kami makan juga tidak mampu menghangatkan badan penulis yang memang kesejukan.

Pengalaman melawat Brussels pada penulis agak menyedihkan pada penulis. Kiri kanan jalan dipenuhi dengan gelandangan yang kebanyakan terdiri dari pelarian dan orang Roma. Ada yang sekeluarga dan ada yang berseorangan. Kasut penulis juga rosak terpijak minyak gris akibat ditolak oleh orang yang lalu lalang. Oleh kerana minyak gris merupakan musuh utama kasut kulit. Walaupun telah dihantar ke tukang kasut. Beliau tidak berjaya membersihkan sepenuhnya kasut tersebut.

Penulis juga menyaksikan sendiri demonstrasi jaket kuning, hasil serpihan dari pergerakan yang sama yang telah melumpuhkan bandar Paris seminggu sebelum lawatan penulis. Hotel penulis diletakkan kawat dawai kerana lokasi hotel terletak di laluan utama ke bangunan parlimen Eropah. Polis menyarankan kami untuk tinggal di hotel atau keluar dari kawasan bandar melalui lencongan yang mereka tetapkan untuk mengelakkan kami dari melalui jalan tersebut.

Penulis dan suami tidak mahu membuang masa di dalam hotel, jadi kami mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan bandar. Sepanjang perjalanan keluar menjauhi hotel. Kami lihat ada beberapa helikopter berlegar di atas. Kami juga mendengar siren ambulan dan polis berbunyi berterus-terusan tanpa henti.

Kami agak buntu dan tak tahu hendak ke mana pada mulanya, suami penulis ada berkata yang dia mahu makan sesuatu yang panas dan mengenyangkan. Penulis yang hampa dengan makanan laut yang penulis jamah semalam mula mencari jika ada restoran makanan laut berhampiran tempat kami berjalan. Penulis tertarik pada salah satu dari dapatan carian penulis. Sebuah restoran makanan laut ala Moroko bernama Poissonnerie louvain atau Fish shop in Leuven yang terletak 42 minit dari tempat kami berhenti.

42 minit berjalan kaki pada suhu bawah takat beku agak mencabar. Tapi oleh kerana pengangkutan awam juga terjejas kerana demonstrasi. Jadi, mahu tak mahu, memang kena berjalan kaki ke restoran tersebut. Tapi penulis bertekad untuk pergi ke sana. Penulis pernah menikmati masakan Moroko sebelum ini. Jadi harapan penulis memang tinggi menggunung.

Restoran tersebut rupanya terletak di tengah-tengah kawasan komuniti Arab. Ianya merupakan sebuah kedai yang menjual makanan laut segar tetapi ada juga memasak makanan tersebut untuk dihidang pada tetamu. Memang ramai yang keluar masuk untuk membeli ikan dan makanan laut segar yang terdapat di situ.

Penulis memesan platter yang terdiri dari potongan ikan merah dan seekor ikan kod, kupang, udang merah dan juga sotong putih. Satu platter dimasak dengan salutan tepung manakala platter yang lagi satu dimasak dengan perapan rahsia.

Hidangan yang kami pesan juga diiringi dengan sebakul roti, sepiring buah zaitun hijau dan sepiring buah zaitun hitam yang diberikan secara percuma.

Penulis dan suami amat berpuas hati dengan masakan yang dihidangkan. Sotong dan udang dimasak dengan baik dan sangat lembut. Perapan rahsia yang mereka gunakan memang sedap. Penulis dapat merasa kombinasi daun parsli, daun pudina, bawang putih, jus lemon dan minyak zaitun dalam perapan. Banyak kali juga penulis cuba meniru kombinasi bahan-bahan tersebut apabila masak di rumah. Walaupun dengan berpandukan resepi di internet, sepertinya ada yang tidak cukup.

Apa yang menyeronokkan penulis adalah harganya yang murah. Penulis membayar harga yang sama seperti di restoran sebelumnya tetapi saiz hidangannya membuat penulis merasa amat berbaloi. Kedua-dua platter ini berharga kurang 50 Euro dan boleh dinikmati oleh 2-4 orang.

Rasa kecewa penulis sedikit terubat dek kerana restoran ini. Penulis keluar restoran dengan rasa hangat dan perut yang penuh. Layanan yang tuan kedai berikan juga cukup baik dan mereka juga peramah.

Dalam perjalanan pulang memasuki kota Brussels. Bunyi siren polis dan ambulan masih kedengaran. Semakin mendekati hotel, semakin kami lihat banyak kerosakan di sepanjang jalan. Tapi oleh kerana perut penulis sudah terisi dengan makanan yang enak, suasana yang menyedihkan ini tidaklah begitu teruk.

Jika anda datang ke Brussels dan mahu mencuba masakan di sini. Informasi ada disediakan di bawah.

Poissonnerie louvain

Alamat: Chaussée de Louvain 145, 1210 Bruxelles, Belgium
Waktu perniagaan:
Selasa – Ahad: 9.00AM–8.00PM
Isnin: Tutup
Telefon: +32 485 97 75 36
Facebook :Poissonnerie louvain

Masakan Malaysia di Kampong Express, Rotterdam

Penulis dan suami sempat singgah ke Rotterdam musim luruh yang lepas. Kota Rotterdam ini merupakan yang ketiga terbesar di negara Belanda dan juga yang termoden. Suasananya amat berbeza dengan Amsterdam. Ianya dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan bangunan pejabat.

Selain melawat tempat-tempat menarik di sini, tujuan lain penulis untuk datang ke sini adalah untuk merasa masakan Malaysia yang dihidangkan oleh restoran bernama Kampong Express. Menurut ulasan yang diberikan oleh pengunjung-pengunjung dari Malaysia yang berpeluang singgah makan di sini, majoriti memberikan ulasan yang baik. Jadi penulis amat teruja untuk mencuba.

Restoran ini ada menyediakan pelbagai jenis hidangan masakan Malaysia dan sudah tentulah hidangan utama mereka adalah nasi lemak. Tapi selain nasi lemak, ada juga hidangan lain termasuk nasi ayam, laksa, kari, rendang, masak lodeh, sate, kuih muih tradisional, cendol dan banyak lagi.

Keluasan restoran ini agak sederhana. Apa yang menariknya hiasan dalaman restoran dipenuhi hiasan dan peralatan masakan seperti batu tumbuk, mangkuk tingkat dan penapis yang sinonim dengan Malaysia dan cina peranakan khususnya. Terdapat juga keratan surat khabar dalam bahasa Belanda dan cina dilekatkan pada dinding-dinding restoran. Ianya kelihatan menarik dan comel.

Penulis memesan nasi lemak. Suami penulis pula memesan nasi goreng, rendang daging dan sayur lodeh. Kami juga memesan cendol dan teh cina.

Rasa sambal nasi lemak mereka memang umphh. Kebanyakan restoran masakan Malaysia di Eropah menggantikan cili kering yang digunakan untuk membuat sambal ikan bilis dengan lada paprika. Walaupun rasanya enak, tetapi rasa asli sambal tidak ada. Hidangan nasi lemak yang dihidangkan kepada penulis mirip nasi lemak di Malaysia. Nasinya ada rasa santan, mereka juga tidak lokek dengan ikan bilis goreng. Menurut anak tuan punya restoran, ibubapanya berasal dari Ipoh. Barang-barang masakan memang diimport dari Malaysia untuk mengekalkan rasa asli masakan.

Jika ada komen dari penulis tentang nasi lemak, adalah berkenaan tentang ayam goreng yang dihidangkan bersama nasi lemak tersebut. Ayam goreng telah diperap dulu dengan perapan ayam goreng untuk nasi ayam. Bila ianya digoreng untuk dihidang bersama nasi lemak, memang terasa kuat perapannya. Penulis memang sukakan nasi ayam. Tapi janggal pula bila makan ayam tersebut bersama nasi lemak. Perapan ayam untuk nasi ayam biasanya manis. Penulis lebih suka ayam goreng biasa yang masin rasanya.

Rendang daging yang kami pesan juga sedap rasanya. Cukup dengan bahan-bahan asas. Sudah tentulah tiada daun kunyit tetapi ada diletakkan daun limau purut, santan dan kerisik. Jadi cukup rasa lemak. Tekstur daging juga lembut. Hidangan sayur lodeh pula agak biasa-biasa sahaja. Suami penulis lebih sukakan masakan penulis.

Cendol juga biasa-biasa sahaja. Pengusaha restoran ada memberitahu jika mahu ditambahkan gula, beritahu sahaja pada mereka. Tapi walaupun ditambah gula, rasa cendol tidak sama seperti rasa cendol di Malaysia. Mungkin telah disesuaikan dengan selera orang Belanda. Untuk keseluruhan, jika anda melawat Rotterdam. Memang berbaloi mencuba nasi lemak di sini.

Kalau anda hendak ke Kampong Express, di bawah ada disediakan tentang maklumat restoran. Waktu operasi agak terhad kerana ia cuma buka untuk makan malam selama 4 jam. Jadi perlu susun jadual dengan teliti. Semoga anda mendapat pengalaman yang baik dan selamat menjamu selera.

Kampong Express

Alamat: Gouvernestraat 2B, 3014 PN Rotterdam, Belanda
Waktu Operasi:
Selasa – Sabtu: 5.00 PM – 9.00 PM
Ahad – Isnin : Tutup
Phone: +31 10 752 3978
Website: http://kampongexpress.nl/
Facebook: Kampong Express

Gereja Tulang Temulang di Kutna Hora

Sewaktu Melawat Prague, Penulis dan rakan penulis memang merancang untuk singgah di Sedlec Ossuary juga dikenali sebagai Church of Bones yang terletak di Kutna Hora. Ianya mengambil masa sejam perjalanan dari Prague ke Kutna Hora.

Pada yang mengenali penulis secara rapat, pastinya tahu yang penulis agak menggemari perkara-perkara unik seperti ini. Jadi mereka tidak hairan apabila penulis memberitahu yang penulis ingin sangat melawat gereja ini. Penulis sebelum ini pernah melawat Catacombs di Paris, jadi penulis tidak mahu melepaskan peluang melawat gereja ini pula.

Sejarah tentang gereja ini bermula apabila Henry, iaitu kepala biara yang telah dihantar ke Tanah Suci Jerusalem oleh Raja Bohemia (sekarang Republic Czech) pada tahun 1278 kembali ke Bohemia dengan membawa bersamanya segenggam tanah dari Jerusalem. Beliau menaburkannya di atas tanah perkuburan di Sedlec yang kini menjadi tapak gereja dan mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah suci.

Perkara ini telah tersebar di seluruh pelusuk Eropah tengah dan tanah perkuburan tersebut menjadi tempat pengkebumian yang diidamkan untuk bersemadi. di seluruh Eropah Tengah. Semasa berkalunya wabak hawar (Black plague), bilangan jenazah yang disemadikan meningkat secara mendadak sehingga tanah perkuburan tersebut perlu diperbesar.

Gereja ini mula dibina sekitar tahun 1400. Ianya terletak betul-betul di tengah tanah perkuburan. Gereja dua tingkat ini mempunyai kubah di bahagian atas dan bahagian bawahnya digunakan sebagai tempat menyimpan tulang-temulang. Ianya dibina oleh Jan Blažej Santini-Aichel dengan seni reka Gothic-Baroque Czech. Pada tahun 1870, František Rint, seorang pengukir kayu, telah dipertanggungjawabkan oleh keluarga Schwarzenberg untuk menyusun tulang temulang seperti yang dilihat pada hari ini.

Gereja kecil ini merupakan antara gereja paling unik yang pernah penulis pernah lawati. Tidak seperti Catacombs yang terletak di bawah tanah dan suhunya yang sejuk menggigit. Gereja kecil ini amat terang dan menerima cukup cahaya matahari. Tetapi bau kematian tetap ada. Ianya bukanlah bau yang tidak menyenangkan. Cuma baunya seakan-akan bau lumut yang lembab. Bau itu diiringi dengan perasaan yang sedih dan kosong. Bahagian luar gereja masih lagi digunakan sebagai tapak perkuburan.

Bahagian dalam gereja dihias dengan tulang temulang yang disusun cantik. Terdapat lebih dari 40 000 rangka manusia di dalamnya. Terdapat juga lilin wangi diletakkan di beberapa sudut untuk mereka yang mahu berdoa.

Antara karya yang paling menarik di Sedlec Ossuary adalah lampu candelier besar tulang yang terletak di bahagian tengah-tengah Gereja. Ianya kelihatan amat menakjubkan. Ada akan nampak lampu ini sebaik sahaja anda melangkah masuk ke dalam gereja.

Selain itu terdapat juga lagi satu karya seni yang menarik iaitu jata keluar aristokrat Schwarzenberg. Keluarga Schwarzenberg merupakan nama keluarga bangsawan Franconian dan Bohemia (sekarang Republic Czech). Mereka pernah memiliki beberapa wilayah di Bohemia.

Antara gambar-gambar yang sempat penulis rakamkan sepanjang berkunjung di sana.

Bila pergi ke tempat-tempat begini, tak dapat dinafikan yang ada perasaan sayu di dalam hati. Hidup kita sangat singkat. Dan pengakhiran kita ada di depan mata. Tulang temulang sahaja yang akan tersisa. Jadi, apalah yang hendak kita banggakan tentang hidup kita.

Bila pergi ke tempat-tempat begini, penting untuk kita menjaga kelakuan dan menunjukkan rasa hormat. Tulang temulang ini satu masa dahulu adalah manusia bernyawa seperti kita. Jadi rendahkan hati dan berkelakuanlah dengan baik.

Jika berminat hendak melawat. Informasi lanjut boleh didapati di sini. Semoga kita mendapat mempelajari sesuatu untuk di bawa pulang.